
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar berpuas hati terhadap tahap kawalan keselamatan penduduk di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati, di sini.

Hussein sedang mendengar cerita kejadian tanah runtuh daripada salah seorang penduduk.
Katanya, sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan sebarang pencerobohan atau kecurian.
“Sehingga kini tiada sebarang laporan cuma ada maklumat terdapat satu atau dua orang tidak dikenali datang. Tetapi apabila melihat anggota polis berkawal mereka telah pergi,” katanya selepas meninjau lokasi runtuhan hari ini.
Menurutnya, pihak polis memberi jaminan menjaga keselamatan rumah-rumah penduduk sehingga mereka dibenarkan pulang.
“Kawalan keselamatan meliputi jalan yang ditutup dan rumah-rumah yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan baik.

Pihak polis memberi jaminan keselamatan penduduk termasuk rumah yang ditinggalkan susulan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati pada Selasa.
“Pusat pemindahan juga berada dalam keadaan baik termasuk kebajikan seperti makan minum,” jelasnya.
Pada Selasa, berlaku tanah runtuh di sebuah bukit di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati sekitar pukul 10.30 pagi akibat hujan lebat berterusan sejak pukul 9.00 pagi.
-ZS-