Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak Tempatkan 48 Keluarga Mangsa Banjir

By 18 Oktober 2024Oktober 21st, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farid Izzemeer/Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Hujan berterusan sejak minggu lalu di daerah Hilir Perak telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Kemudahan pemeriksaan kesihatan mangsa banjir diberikan oleh pasukan petugas daripada Pejabat Kesihatan Daerah

Berikutan banjir yang berlaku di Kampung Batu 8 dan Lorong Belakang Klinik di Changkat Jong, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Serbaguna Padang Tembak bermula Isnin lalu bagi menempatkan 48 buah keluarga yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Lt. (PA) Nor Azlan Abdul Jalil berkata antara penduduk kampung yang paling ramai berpindah ke PPS ini melibatkan penduduk dari Kampung Batu 8 dan Kampung Glouster.

Petugas Pejabat Penerangan Daerah memasang layar putih untuk siaran bahan-bahan bersesuaian

“Fenomena air pasang besar dijangka berlanjutan hingga 19 Oktober (esok) dan situasi ini menyebabkan semua mangsa di PPS tidak dibenarkan pulang buat masa ini,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Saiful Azwan Mohamad, 48, berkata kemudahan yang disediakan di PPS ini berada dalam keadaan baik dan mencukupi.

“Kemudahan seperti tilam, selimut dan tuala disediakan buat kami selain layanan baik turut diberikan oleh semua petugas terlibat termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan yang lain,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda