
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mast Jusoh
PASIR MAS, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Azman ketika menyampaikan ucapan.
Menurut Pengarah KPDN Negeri Kelantan Azman Ismail, kerajaan amat prihatin dan memahami masalah rakyat dengan isu harga barangan yang mahal.
“Kerajaan sentiasa mendengar masalah rakyat dan berusaha mencari jalan penyelesaian dan Program Jualan Rahmah ini diadakan khususnya di kawasan kampung atau lokasi berdekatan dengan kediaman masyarakat yang memerlukan supaya mereka tidak perlu bersusah payah ke pasar raya atau pasar awam di bandar,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Karnival PIBG dan Kokurikulum ‘Gegey Gegok Kangkong 2024’ yang berlangsung di Dewan Ipomea Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkong, di sini malam tadi.
Azman turut menasihati orang ramai yang gemar berbelanja dalam talian agar berhati-hati dan membuat laporan sekiranya berlaku penipuan kepada pihak berkuasa supaya kes tersebut boleh dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kangkong Mohd Afifi Muhd Nor, berpendapat program jualan seperti ini sangat membantu masyarakat luar bandar terutamanya golongan B40.

Mohd Nasruldin Md.Saupi bersama anak berusia setahun Mohd Faiz Naim datang di PJR.
“Ramai golongan berpendapatan rendah dan bekerja sendiri di kawasan ini amat mengharapkan PJR diadakan secara kerap dengan harga yang murah dan bekalan barangan mencukupi,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Buloh Melintang yang hadir bersama keluarganya Mohd Nasruldin Md. Saupi, 42, turut menyokong usaha ini dan berharap PJR diadakan lebih kerap, terutama pada akhir bulan selari dengan waktu penerimaan gaji.
“Saya berharap pihak KPDN boleh mengadakan PJR dari semasa ke semasa, terutama sekali pada akhir bulan untuk memudahkan perancangan pembelian barangan keperluan,” ujarnya.
-ZS-