
Laporan/foto: Muhd Asri Dalim (Sarawak)
LAWAS, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Punang Nature Walk yang terletak 12 kilometer dari bandar Lawas merupakan satu lagi daya tarikan baharu di sini.
Punang Nature Walk telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 30 Jun lalu.
Kawasan ini yang terletak di kampung Punang menyajikan pemandangan pantai yang indah terutama pada waktu senja dan pengunjung dapat menikmati pemandangan matahari terbenam.

Penghulu Marli Ambi.
“Tempat ini mampu menarik lebih ramai pengunjung pada hujung minggu di samping penduduk kampung dapat menjana pendapatan tambahan dengan membuka gerai-gerai jualan pada hujung minggu,” ujar Penghulu Kawasan Punang Marli Ambi, 72, yang ditemui semalam.
Selain itu, aktiviti riadah bersama keluarga dapat dilakukan di sini seperti berkelah dan berjoging di pantai terutama pada hujung minggu.
Aktiviti mandi-manda serta mencari aktiviti riadah lain seperti memancing dapat dilakukan di sini.

Kemudahan awam yang selesa turut disediakan.
Terdapat pelbagai kemudahan disediakan seperti tandas awam, tempat memanggang, kiosk jualan makanan dan tempat meletak kenderaan yang luas mampu menampung bilangan kenderaan pelawat ke Punang Nature Walk.
-ZS-