
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)
KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Mangsa kes penipuan dan jenayah kewangan dalam talian perlu segera menghubungi talian 997 bagi mendapatkan bantuan segera atau melaporkan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Talian yang dikendalikan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaaan (NSRC) ini berfungsi sebagai langkah pencegahan yang kritikal untuk memastikan tindakan pantas diambil terhadap penjenayah sekali gus meningkatkan keselamatan kewangan rakyat.

Suasana di reruai Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Pengarah II Bahagian Operasi Bersepadu, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Mohd Hizar Farhan Abdul Razi, berkata ramai mangsa yang lambat menyedari bahawa diri mereka telah menjadi mangsa penipuan kewangan atau scammer.
“Justeru itu, pihak NFCC turun padang bertemu masyarakat untuk memberi pendedahan berkaitan talian 997. Ramai orang tidak tahu bahawa talian 997 merupakan talian pantas yang boleh memberi bantuan dan khidmat nasihat kepada mangsa penipuan jenayah kewangan atas talian.
“Sekiranya mangsa dapat menghubungi talian 997, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan segera dengan menyekat transaksi berkaitan dan peluang mangsa mendapatkan kembali wang adalah lebih cerah,” katanya semasa Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah, di sini pada Sabtu.

Suasana sekitar Program Madani Rakyat 2024.
Dengan perkembangan dunia sosial dalam talian, beliau menyeru agar masyarakat tidak berkongsi maklumat peribadi kepada pihak ketiga kerana maklumat tersebut boleh disalahguna untuk tujuan penipuan.
“Di luar sana ramai pemangsa yang sentiasa mencari mangsa dan sekiranya mereka terpedaya, maka segala wang simpanan berpuluh tahun boleh hilang sekelip mata,” ujarnya.
Selain pameran, pihak NFCC turut mengedarkan bahan penerbitan berkaitan jenayah kewangan serta menganjurkan pertandingan kuiz interaktif yang mendapat sambutan meriah daripada pengunjung.
Sebagai makluman, Program Malaysia MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang diadakan pada 18 hingga 20 Oktober lalu di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-ZS-