Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Tamu Besar KB: Merayakan Tradisi, Perkasa Industi Pelancongan

By 24 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd. Nizwan Mohd. Daini (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Tamu Besar Kota Belud merupakan salah satu perayaan ikonik di Sabah yang mengangkat kekayaan budaya sekaligus menjadi identiti serta kebanggaan masyarakat setempat.

Pesta rakyat yang sekian lama ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 ini kembali dianjurkan pada tahun ini dengan pelbagai pengisian yang bakal mempamerkan keindahan dan keunikan budaya tempatan.

Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Supian Musa, berkata acara yang dikelolakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini adalah peluang untuk mengangkat sektor pelancongan domestik selain menjadikan Kota Belud antara destinasi utama persinggahan pelancong di Sabah.

Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Supian Musa

“Program tahun ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Festival Tari Kebangsaan yang akan mempersembahkan pelbagai tarian kreatif dari seluruh negara dan Pertandingan Lumba Kerbau yang akan diadakan di Kampung Sangkir.

“Selain itu, Pertandingan Warisan ‘Guk Samah’, yang memfokuskan kepada pembuatan parang tradisional yang terkenal dengan keaslian ukiran dan reka bentuk identiti masyarakat Bajau di Kota Belud.

“Melalui acara ini, kami berharap dapat menjana ekonomi penduduk tempatan dan menarik pelancong dari luar kerana Kota Belud kaya dengan budaya dan keindahan alam dan kami ingin semua orang merasai pengalaman ini,” katanya dalam siaran langsung program Teatalk@JaPen di sini, semalam.

Merangkap Jawatankuasa Promosi dan Hebahan Tamu Besar 2024, jelasnya Kota Belud adalah sebuah daerah yang kaya dengan pelbagai jenis elemen gastronomi dan kraf tangan yang dihasilkan oleh masyarakat tempatan, termasuk suku Bajau, Dusun, Tobilung, Ubian dan Iranun.

“Salah satu hidangan yang popular di sini adalah ikan liking, yang sering dibicarakan di media sosial. Jadi jika anda ingin merasai ikan liking yang terkenal ini, datanglah ke Kota Belud. Kami menyediakan pakej-pakej istimewa untuk makanan dan penginapan.

“Kota Belud juga memiliki keindahan alam yang menakjubkan. Dari pantai terpanjang, Pantai Nanamon, hingga pulau-pulau Mantanani dan sungai-sungai di Melangkap, semua menawarkan pengalaman yang unik. Tidak ketinggalan, pemandangan indah Gunung Kinabalu yang menjadi latar belakang daerah ini.

“Jadi, marilah kita bersama-sama memeriahkan Tamu Besar 2024 dan menunjukkan kepada semua betapa istimewanya budaya kita,” ujarnya.

Untuk makluman, Tamu Besar Kota Belud 2024 yang akan berlangsung bermula 25 hingga 27 Oktober dan 1 hingga 3 November 2024 di Padang Pekan Kota Belud adalah anjuran MOTAC sebagai peneraju utama bersama Pejabat Daerah Kota Belud dan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Sabah.

-AA-

Tinggalkan komen anda