
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)
TAIPING, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kanak-kanak yang disambut pada 20 November setiap tahun bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada bakat serta komitmen kanak-kanak dalam menonjolkan bakat masing-masing.

Persembahan oleh wakil murid dari setiap Tabika Perpaduan.
“Sambutan ini mencetus kesedaran kepada kita bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk menentukan perlindungan, kebajikan serta hak kanak-kanak agar sentiasa dipelihara,” kata Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perak Mohamed Zaizulman Zainal Abidin di sambutan tersebut yang menghimpunkan kira-kira 300 murid bersama ibu bapa dan penjaga di Dewan Rampai, Kompleks Telekom, di sini kelmarin.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam Ong Seng Guan meluahkan rasa kagum terhadap kepetahan murid-murid Tabika Perpaduan apabila melakukan persembahan.

Kanak-kanak mengambil peluang bergambar di reruai pameran Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja (9 RRD).
“Saya juga berasa gembira melihat warna-warni pakaian kanak-kanak ini apabila mengenakan pakaian mengikut profesion idaman masing-masing dan semoga mereka semua berjaya suatu hari nanti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Hadir sama Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt. Abd Malek Ismail dan Pegawai Kesihatan Daerah LMS Dr. Syahrizal Abdul Halim.
-ZS-