Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Usahawan OKU: Gigih Jana Pendapatan, Hasilkan 48 Jenis Sambal

By 21 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam dunia perniagaan, semangat juang yang tinggi adalah kunci kejayaan dan ini dibuktikan oleh Mohd Jan Jamnu individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya menghasilkan 48 jenis sambal dan menjualnya di bawah Jenama Sambal BangMuk.

Memulakan perniagaan sejak tahun 2016, Mohd Jan, 40, sentiasa melakukan proses penyelidikan dan pembangunan agar produk yang dihasilkannya mencapai piawaian keselamatan makanan selain berkualiti tinggi untuk bertahan lama di pasaran.

Isteri Mohd Jan, Shelly Abdul Nally sedang melayan pelanggan dengan memberikan sampel aneka sambal BangMuq.

Jelasnya, dengan sokongan pelbagai pihak, perusahaannya kini berkembang dengan baik dan berupaya mengeluarkan antara 2,500 hingga 3,000 paket sambal sebulan selepas menaik taraf kaedah pembungkusan.

“Bantuan yang pertama saya dapat daripada Pembangunan Industri Kecil Perikanan (PIKP), berjumlah RM10,000, bantuan itu digunakan untuk permulaan projek di mana hasil daripada pinjaman ini saya gunakan untuk membeli bahan mentah, kemudian saya juga menerima dana untuk pembungkusan produk sejumlah RM50,000 bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Awalnya, kami menggunakan balang plastik, tetapi dengan bantuan pihak Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Ko-Nelayan di bawah kerajaan negeri, kami belajar tentang kaedah pembungkusan retort.

“Boleh dikatakan sebelum ini saya hanya boleh keluarkan sebanyak 800 botol maksimum sebulan, sekarang dengan perolehan mesin, dalam tempoh sama saya boleh keluarkan sehingga 2,500 ke 3,000 paket sambal,” katanya ketika ditemui di reruai pameran usahawan di Program Malaysia MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah di sini pada Sabtu.

Tambah Mohd Jan, beliau memanfaatkan sepenuhnya dunia e-dagang dengan mempromosikan produk sambal jenama BangMuk ke semua platform media sosial selain menjalinkan menggunakan sistem agen untuk menampung permintaan daripada luar negeri.

Aneka produk sambal keluaran BangMuq.

“Sekarang pusat pengoperasian di Tanjung Aru, Kota Kinabalu tapi kami juga sedang mengusahakan untuk membuka satu lagi premis di Kunak, selain itu dari segi pasaran kami juga meletakkan produk di pasar raya, kedai runcit dan stesen minyak di sekitar bandar raya.

“Untuk yang di luar Sabah di Labuan, Sarawak atau semenanjung Malaysia akan menggunakan sistem agen selain menggunakan platform e-dagang seperti TikTok Shop, Shopee jadi pembeli juga boleh membuat pembelian secara dalam talian,” ujarnya.

Untuk makluman, Sambal BangMuk mempunyai sehingga 48 Unit Penyimpanan Stok (SKU) sambal atau perisa antaranya yang paling laris ialah Sambal Ikan Masin, Sambal Ikan Bilis, Sambal Udang, dan Sambal Kerang selain Sambal Bambangan Ikan Masin, Bambangan Ikan Bilis dan Tuhau Ikan Masin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda