Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Usunan: Angkat Tradisi Bajau Samah dan Etnik di Sabah

By 21 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Muzium Negeri Sabah telah mengangkat Usunan iaitu salah satu elemen kebudayaan kaum Bajau Samah sebagai usaha untuk mempromosi keunikan pelbagai etnik di Sabah.

Binaan berbentuk nakhoda dengan balutan kain etnik Bajau Samah itu antara pameran yang menambat hati pengunjung semasa Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah pada 18 hingga 20 Oktober lalu di Kompleks Sukan Likas.

Antara pengunjung yang mengunjungi dan merakamkan kenangan di ruang pameran usungan dan para ‘model’ kaum Bajau Samah.

Penolong Kurator, Jabatan Muzium Negeri Sabah Sharliza Idrus, berkata tidak hanya mempamerkan artifak bersejarah, pelbagai kelengkapan serta aksesori tradisi etnik tersebut diperkenalkan secara interaktif oleh kakitangan jabatan.

“Usunan ini adalah warisan tradisi yang digunakan dalam majlis perkahwinan dalam masyarakat etnik Bajau di mana pengantin lelaki akan menaikinya dan akan dibawa dalam satu perarakan ke rumah pengantin perempuan.

“Menariknya adalah Usunan ini bukan sekadar warisan yang ditinggalkan, tradisi ini masih lagi ada sehingga kini yang masih diamalkan secara turun temurun oleh kaum Bajau Samah di Kota Belud,” jelasnya ketika ditemui semasa program berkenaan di sini pada Sabtu.

Sementara itu, bagi Pegawai Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Simon Sarong, penggunaan persalinan serta aksesori lengkap sesebuah etnik akan lebih membantu orang awam memahami sesuatu budaya termasuk Bajau Samah.

Sharliza (tengah), Simon (dua dari kanan) bersama rakan-rakan mereka dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah memperagakan pakaian tradisi Sabah.

“Kami gembira apabila melihat orang ramai, terutamanya pengunjung dari Semenanjung yang singgah ke ruang usunan ini sekali gus untuk memeriahkan program dengan mempamerkan kebudayaan Bajau Samah melalui pakaian tradisi serta Usunan ini.

“Dalam masa yang sama mereka yang datang dapat belajar tentang kebudayaan ini dan seterusnya merakam gambar kenangan untuk dikongsikan kepada komuniti yang lain yang belum terdedah dengan adat kebudayaan suku kaum di Sabah,” kongsinya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda