Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Wayang Pacak Medium Sebaran Maklumat Secara Santai

By 22 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad (Mersing)

MERSING, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam era tontonan secara dalam talian, siapa sangka wayang pacak iaitu pertunjukan wayang gambar di tanah lapang yang popular pada era 70-an dan 80-an masih mempunyai peminat tersendiri.

Semalam, lebih 200 warga Felda Tenggaroh Tiga hadir memeriahkan siri Program JIWA Komuniti MADANI@DUN Tenggaroh anjuran Pejabat Penerangan Daerah Mersing yang diadakan di Dataran Felda Tenggaroh Tiga sebagai usaha mengembalikan nostalgia dan menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelbagai lapisan masyarakat di Felda Tenggaroh Tiga hadir menyaksikan tayangan wayang pacak di Dataran Felda Tenggaroh Tiga semalam.

Ketua Peneroka Felda Tenggaroh Tiga Abd Razak Abd Majid, berkata penganjuran wayang pacak ini bukan sahaja sebagai medium hiburan semata tetapi turut berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat penting daripada kerajaan kepada masyarakat dalam suasana santai.

“Selain membuat tayangan wayang pacak, pihak Pejabat Penerangan juga mengambil peluang menyampaikan naratif isu-isu semasa seperti Buli Siber, PEKA B40, Rasionalisasi Subsidi dan juga hasil pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.

“Saya juga dapat mengimbau kembali kenangan menonton wayang pacak ketika zaman kanak-kanak dahulu,” katanya.

Sementara itu, Putera Danish Irsyad, 12, berkata filem patriotik yang ditayangkan telah melahirkan rasa sayang dan cinta kepada negara.

“Saya dan kawan-kawan bercita-cita ingin menjadi pegawai tentera pada suatu hari nanti bagi melindungi tanah air yang tercinta daripada ancaman pencerobohan dan serangan anasir luar,” katanya.

Rashid menyampaikan taklimat ringkas mengenai inisiatif kerajaan seperti PEKA B40, Rasionalisasi Subsidi dan Intipati Belanjawan 2025 yang baru dibentangkan baru-baru ini.

Program juga dimeriahkan dengan acara kuiz kenegaraan dan cabutan bertuah kepada semua penduduk yang datang pada malam tersebut.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Mersing Rashid Ibrahim dan Ketua Komuniti MADANI Felda Tenggaroh Tiga Shalihan Nawawi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda