
Laporan/foto: Sophia Aren Erik (Sarawak)
TATAU, 29 Nov (Malaysiaaktif) – ‘Bungai Jarau’ merupakan seni warisan yang melambangkan kebudayaan kaum Iban di Sarawak yang dihasilkan menggunakan batang kayu ‘purang’, sejenis kayu lembut dan mudah diraut.
Ianya adalah kebanggan seni tradisi kaum Iban secara turun-temurun dan seni warisan ini masih dihormati serta digunakan sebagai hiasan di rumah, pejabat-pejabat kerajaan dan secara tidak langsung mengekalkan seni warisan ini terus dikenali golongan muda sehingga ke hari ini.

Tuai Rumah Sijah.
Pada zaman dahulu, ‘Bungai Jarau’ juga juga menjadi alat pengantaraan untuk menyampaikan mesej dalam kalangan penduduk di rumah panjang seperti bertujuan untuk meminta bantuan daripada penduduk rumah panjang yang lain atau memaklumkan sesuatu berita dengan segera.
“’Bungai Jarau’ memang sinonim dengan kaum Iban dan pada zaman dahulu, bunga ini selalu digunakan semasa ‘Gawai Sandau Hari’, ‘Gawai Antu Pala’ atau majlis perkahwinan,” kata Tuai Rumah Sijah Ejut, 51, yang juga pengusaha kedai kraf tangan Sibu Craft Legacy, di sini semalam.
Bunga ini boleh diraut nipis atau tebal mengikut kesukaan atau permintaan individu.
Kini, seni warisan ini telah berubah fungsi asalnya di mana ‘Bungai Jarau’ sering dilihat menjadi hiasan masyarakat Iban di rumah panjang semasa perayaan Hari Gawai Dayak.
-ZS-