Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

ESSCOM Perkenal Aplikasi Friends of Sabah (FOS) untuk Perkasa Keselamatan Pelancong

By 20 November 2024November 29th, 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mohd Shakir Salleh (Sabah)

LAHAD DATU, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Dengan matlamat memastikan keselamatan pelancong terus terpelihara, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melancarkan aplikasi mudah alih ‘Friends Of Sabah’ (FOS).

Komander ESSCOM Sabah, Datuk Victor B. Sanjosh, berkata aplikasi ini berupaya membantu pasukan keselamatan khususnya ESSCOM untuk mengenal pasti kedudukan mangsa dengan segera sekiranya berlaku musibah atau kecelakaan.

Victor ketika menjawab soalan rakan media selepas majlis pra pelancaran aplikasi mudah alih ‘Friends Of Sabah’ (FOS)

Selain meningkatkan keselamatan, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan ini juga berfungsi untuk merekod dan memantau kehadiran pelancong dalam dan luar negara yang melawat Sabah.

“Aplikasi ini adalah strategi serampang dua mata pihak kerajaan. Ia bukan sahaja memberikan rasa selamat kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan Sabah.

“Inisiatif ini diambil sebagai langkah proaktif untuk memantau dan meningkatkan keyakinan pelancong terhadap destinasi pelancongan di negeri ini, terutama di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE),” katanya ketika sidang media selepas majlis pra pelancaran aplikasi FOS di sini semalam.

Victor (dua dari kanan) ketika gimik pra pelancaran pelancaran aplikasi mudah alih ‘Friends Of Sabah’ (FOS)

Beliau turut memaklumkan bahawa tempoh percubaan aplikasi ini adalah selama tujuh hingga lapan bulan bagi menilai keberkesanannya sebelum dilancarkan secara rasmi.

“Aplikasi ini sudah boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘Play Store’ dan ‘App Store’. Walaupun penggunaan aplikasi ini tidak diwajibkan buat masa ini, kami menggalakkan semua pelancong mencubanya dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan IT Collection Sdn. Bhd. Datuk Dr. Sunny Tan Hang Ming, menyatakan bahawa aplikasi ini dapat mengintegrasikan pelbagai ciri keselamatan penting agar pelancong sentiasa mendapat maklumat terkini dan selamat sepanjang perjalanan mereka.

“Aplikasi ini bukan sahaja menawarkan ciri keselamatan seperti amaran keselamatan nyata dan bantuan kecemasan tetapi juga memberikan cadangan perjalanan yang diperibadikan dan menghubungkan pelawat dengan perniagaan tempatan, mewujudkan pengalaman yang lebih integrasi dan bermakna,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis pra pelancaran tersebut ialah Pengerusi IT Collection Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima T. C. Goh, Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Garry Belayong Anak John Siki serta Presiden Persatuan Pelancongan Sabah, Melanie Chu.

-AA-

Tinggalkan komen anda