
Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)
KUALA KANGSAR, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Sejarah tercipta apabila Kilang Minyak Sawit Pintar Berasaskan AI pertama di dunia dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Minsawi Industries, Sauk, di sini pagi tadi.

Johari menyempurnakan gimik perasmian majlis.
Johari dalam ucapannya, berkata pelancaran ini menandakan satu pencapaian besar dalam transformasi teknologi industri sawit negara.
“Semoga teknologi berasaskan AI ini akan memberikan manfaat yang sepenuhnya kepada industri minyak sawit Malaysia, sekali gus menjadikannya lebih efisien dan berdaya saing di peringkat global.
“Minsawi Industries perlu membuktikan kejayaan projek ini dengan menunjukkan impak positif dari segi produktiviti dan kualiti pada masa hadapan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dengan adanya teknologi AI di Minsawi Industries, ia diyakini menjadi model kepada kilang-kilang minyak sawit di seluruh dunia dalam usaha menghasilkan produk yang lebih berkualiti dengan cara yang lebih efisien dan selamat.
Dalam majlis tersebut, Johari turut mengaktifkan sistem AI menandakan operasi rasmi kilang ini semasa pelancaran Mesin Kilang Minyak Sawit Pintar.
Sistem AI yang diperkenalkan berfungsi untuk mengawal pergerakan mesin conveyor (pengangkut) buah tandan segar secara berperingkat, dengan memberi tumpuan kepada keselamatan di setiap peringkat pemprosesan.

Johari menurunkan tandatangan di plak perasmian selepas melawat bilik kawalan kilang pintar.
Proses Ini bukan sahaja meningkatkan efisiensi, malah memastikan kawalan yang lebih baik terhadap setiap aliran kerja di kilang.
Turut berlangsung sesi menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Syarikat AIREI Sdn. Bhd. dan Syarikat Fine Instrument Technology menandakan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak untuk memperkasa penggunaan teknologi pintar dalam industri minyak sawit.
-ZS-