
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Ahli-ahli Komuniti MADANI di negeri Perlis telah menghadiri taklimat oleh Jabatan Penerangan Negeri Perlis dalam usaha untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas dan mendalam Belanjawan 2025.

Taklimat Belanjawan 2025 kepada ahli Komuniti MADANI Parlimen Padang Besar.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mazli Hamdan, sesi penerangan mengenai Belanjawan 2025 ini telah diadakan sebanyak tiga sesi taklimat melibatkan tiga buah Parlimen di negeri ini.
“Sesi pertama telah diadakan di Felda Rimba Mas bagi wakil Komuniti MADANI untuk Parlimen Padang Besar dan diikuti Parlimen Kangar bagi sesi kedua di Kampung Hujung Bukit, Bintong,” katanya semalam.
Beliau yang berucap di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau untuk sesi ketiga taklimat Belanjawan 2025 bagi Parlimen Arau menjelaskan bahawa sesi penerangan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli komuniti untuk mendapatkan penerangan lebih jelas mengenai belanjawan tersebut dan pada masa yang sama membolehkan mereka bertanyakan sebarang soalan.
“Saya berharap selepas mereka mendengar penerangan belanjawan ini mereka boleh menyampaikan segala isi pati belanjawan 2025 kepada penduduk kampung dengan lebih jelas,” ujarnya.

Edaran bahan penerbitan turut diadakan.
Tambah Mazli lagi, diakhir program mereka akan dibekalkan bahan maklumat mengenai Belanjawan 2025 dalam bentuk nota digital untuk mereka memanjangkan maklumat tersebut kepada kumpulan di dalam aplikasi telefon atau di media sosial masing masing.
-ZS-