
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)/Pejabat Daerah Kemaman
KEMAMAN, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman Tahun 1446H/2024M bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ yang berlangsung dengan jayanya di Masjid Sultan Ahmad Cukai, di sini kelmarin berupaya menjadi platform bagi mengajak umat Islam di daerah ini membaca dan mengamalkan al-Quran.

Fadli ketika menyampaikan ucapan di Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Daerah Kemaman Tahun 1446H/2024M.
Pegawai Daerah Kemaman merangkap Pengerusi Jawatankuasa majlis tilawah Fadli Yusof Zakaria, berkata majlis tilawah al-Quran yang diadakan merupakan satu medium pendidikan untuk mengajak masyarakat menghayati bacaan merdu ayat-ayat al-Quran serta memahami isi kandungannya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
“Dengan adanya majlis sebegini, dapat memupuk masyarakat Islam agar membudayakan al-Quran dalam kehidupan dan mempromosikan al-Quran kepada masyarakat bukan Islam agar mereka dapat merasai keindahan alunan ayat-ayat suci al-Quran.
“Selain itu, dengan menjadikan al-Quran sebagai rujukan atau panduan, umat Islam telah mencapai dan mampu mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya dan perkembangan sejarah dunia ini telah menjadi contoh serta ikutan kepada masyarakat lain di dunia,” katanya.
Seramai empat qari dan empat qariah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Hadirin khusyuk mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Johan Qari pada tahun ini disandang oleh Ahmad Uwais Qarni Mat Razali manakala Johan Qariah pula dirangkul oleh Afzam Mustaffa.
Johan bagi kategori Qari dan Qariah akan mewakili Daerah Kemaman ke peringkat Majlis Tilawah Al-Quran Negeri Terengganu yang akan diadakan di daerah Dungun pada 21 hingga 23 Januari tahun hadapan.
-ZS-