
Laporan/foto: Wan Mohd Zuhairi (Petaling)
PETALING JAYA, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Pengisian program Info on Wheels (IOW) yang dilaksanakan Pejabat Penerangan Daerah Petaling memberi fokus hebahan awal kesiapsiagaan menghadapi banjir ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Skuad IOW Daerah Petaling semalam telah menelusuri beberapa kawasan di dalam Parlimen Petaling Jaya dan Subang untuk membuat hebahan kepada orang ramai.

Hebahan awal bagi menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut.
Menurut penduduk tempatan Dennis Low, 38, program hebahan ini dapat membantu penduduk setempat bersiap siaga menghadapi banjir di kawasan mereka.
“Hebahan yang dibawa ke sini pada hari ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga sekiranya bencana banjir terjadi selain dapat mengetahui tentang manfaat Belanjawan 2025,” ujarnya.
Hebahan berkenaan sebagai amaran awal kepada penduduk di kawasan yang diramal berisiko banjir agar sentiasa peka serta mengambil langkah berjaga-jaga.
Hebahan berkaitan Belanjawan 2025 juga dilaksanakan bagi menyebar luas manfaat yang bakal diterima rakyat melalui bajet tersebut.

Bersama penduduk setempat.
Seorang lagi penduduk yang ditemui Hasnah Zakaria, 48, menyambut baik program hebahan ini kerana dapat mengelakkan penduduk daripada keadaan panik jika banjir terjadi di kawasan perumahan.
“Hebahan seperti ini adalah sangat baik kepada orang ramai agar kami penduduk perumahan dapat siap siaga dari awal sekiranya bencana banjir berlaku dan tahu apa perlu dilakukan nanti,” katanya.
Program yang mendapat kerjasama orang ramai disusuli dengan edaran bahan penerbitan dan kajian keberkesanan program IOW.
-ZS-