Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pesta Buku Borneo Membangun Generasi Berilmu

By 15 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Dalam dunia yang penuh dengan maklumat, membaca membantu seseorang untuk berhubung dengan pelbagai idea, memperluas perspektif, dan meningkatkan kemahiran berfikir.

Dengan meningkatkan budaya membaca, masyarakat dapat memperkasakan diri mereka dengan pengetahuan yang relevan, sekali gus mencipta generasi yang lebih bijak, bermaklumat dan berdaya saing.

Sekitar suasana Pesta Buku Borneo.

Pengurus Tarbiyah Sentap Mhd Maswan Anwar, 35, berkongsi misi syarikat penerbitannya yang bertujuan memberi alternatif hiburan berunsur Islamik kepada generasi muda.

“Penerbitan buku-buku kami berunsurkan motivasi dan dakwah yang santai, tetapi sentap, untuk mengingatkan pembaca akan tujuan hidup dengan cara yang mudah difahami.

“Tarbiyah Sentap membawa sebanyak 500 naskhah buku ke Pesta Buku Borneo kali ini, termasuk buku terlaris seperti ‘Tuhan, Aku Mahu Sembuh’ dan ‘Tuhan, Aku Mahu Hijrah’ karya Adnin Roslan yang sudah mencatat lebih 400,000 naskhah jualan.

“Buku-buku ini membantu pembaca muhasabah diri dan mendalami langkah-langkah untuk memperbaiki kehidupan mereka. Kami mahu bahan bacaan ini menjadi medium untuk mendekati anak muda ke arah hidup yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Pesta Buku Borneo, di sini pada Rabu.

Antara pengunjung yang ditemui, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Khazwanizah Kamianzah, 19, yang merupakan peminat setia karya-karya motivasi, menyatakan sokongannya terhadap penganjuran acara ini.

“Saya suka beli buku motivasi sebab ia beri inspirasi dan bimbingan. Dengan adanya Pesta Buku Borneo, ia boleh tarik minat ramai pelajar untuk mula membaca dan meningkatkan motivasi diri.

Maswan di hadapan reruai Tarbiyah Sentap.

“Buku yang saya beli ini, contohnya, dapat bantu saya lebih bersemangat menghadapi stres. Bila ada buku-buku macam ini, saya rasa lebih tenang dan yakin,” jelasnya.

Pesta Buku Borneo 2024, anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan tema ‘Borneo Membaca’, menampilkan lebih daripada 90 reruai pempamer yang menyajikan pelbagai pilihan buku dari penerbit buku seluruh negara dan negara Brunei berlangsung dari 13 hingga 17 November 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda