
Laporan/foto: Affifa Aroff Nizam (Perak Tengah)
BOTA, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Tanaman jagung kini menjadi sebuah tanaman yang semakin popular dalam kalangan petani Malaysia ekoran permintaan tinggi dalam industri makanan.
Bagi pengusaha tanaman ini, Rozana Mohd Zakarie, 53, dia mula berkecimpung dalam bidang pertanian ini sejak lebih 15 tahun lalu dan mengusahakan ladang jagung seluas dua hektar di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Titi Gantong.

Ladang Jagung TKPM di Titi Gantong, Bota, Perak.
“Tanaman jagung tidak memerlukan penjagaan yang rumit, namun memerlukan perhatian khusus dari segi kesesuaian tanah dan iklim.
“Jagung memerlukan tanah yang subur dan iklim yang sesuai, iaitu panas dan cukup hujan kerana hasil jagung boleh terjejas sekiranya dua faktor ini tidak dipenuhi,” ujarnya ketika ditemu bual krew Malaysia Aktif, di Titi Gantong, di sini semalam.
Menurut Rozana, tanaman jagung perlu dipantau dengan teliti untuk memastikan ia tidak terdedah kepada masalah seperti kekurangan air atau penyakit yang boleh menyebabkan kerugian.
“Penanaman jagung memerlukan pengetahuan dan pengalaman serta penggunaan teknologi pertanian moden untuk memastikan hasil yang optimum.
“Bagi petani yang baru memulakan perusahaan ini, mungkin ada sedikit kesukaran tetapi dengan latihan dan pengalaman pasti menjadi lebih mudah,” katanya yang turut membuka gerai jualan jagung manis di Titi Gantong sejak enam tahun lalu.

Kawasan penanaman jagung Rozana.
Tambah Rozana, jualan jagung manis mampu mencecah lebih 1,000 biji sehari pada hari biasa manakala 2,000 biji pada hujung minggu atau hari cuti.
“Ini membuktikan betapa tingginya permintaan terhadap hasil jagung yang berkualiti dan saya yakin penanaman jagung di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah terutama dengan sokongan teknologi dan kaedah pertanian yang lebih efisien.
“Walaupun ada cabarannya, namun peluang dalam industri ini semakin berkembang dan dengan pengurusan yang baik, pekebun jagung pasti dapat menikmati hasil yang memuaskan seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara,” ujarnya.
-ZS-