
Laporan/foto: Florence Sebastian Unting/Remy Pisep (Sarawak)
SARATOK, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Fatimah Iseng atau lebih dikenali sebagai Timah Suman Legen, memulakan perniagaan makanan tradisional dengan semangat yang tinggi dan mula berjinak dalam perniagaan tumpik lemantak sejak 30 tahun lalu.
Tumpik lemantak yang dihasilkan semakin popular kerana rasa yang unik serta diperbuat daripada bahan-bahan segar seperti tepung sago, tepung kanji dan kelapa parut kini dijual pada harga RM3.50 sebiji berbanding hanya 50 sen sebiji pada awal perniagaannya,
Timah juga memperkenalkan variasi seperti tumpik payak (udang kecil), tumpik sotong dan tumpik lumi (ikan) selain daripada tumpik kosong yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Tumpik lemantak dari Kabong, Sarawak.
“Produk-produk ini mendapat sambutan hangat daripada pelanggan yang menghargai cita rasa tradisional yang kaya, sekali gus memperkaya lagi pilihan yang tersedia di gerai,” katanya semalam.
Menurutnya, beliau mampu memperoleh pendapatan kasar bulanan sehingga sekitar RM4,000 dan lebih tinggi pada hari-hari istimewa seperti pesta di Kabong.
Sepanjang perjalanan perniagaannya, beliau telah menerima bantuan daripada kerajaan, termasuk Bantuan Pertanian Usahawan Pertanian sebanyak RM5,000 serta bantuan Gerai Jualan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang membantu dalam pengembangan perniagaan.
Dengan bantuan tersebut, beliau berjaya menambah baik peralatan perniagaan dan memberi ruang untuk menambah variasi produk.
“Tidak dinafikan, sokongan masyarakat dan kerajaan turut memberi motivasi kepada saya untuk terus bertahan,” katanya.

Tumpik lemantak dihasilkan menggunakan bahan segar seperti tepung sago, tepung kanji dan kelapa parut.
Selain tumpik lemantak, Timah juga menghasilkan suman lemantak satu lagi hidangan tradisional yang semakin digemari ramai.
Penghasilan suman lemantak menggunakan bahan yang hampir serupa dengan tumpik lemantak iaitu tepung sago, tepung kanji dan kelapa parut tetapi cara penyediaannya berbeza.
“’Suman lemantak dibalut dengan daun nipah dan dipanggang, memberikan rasa yang lebih unik dan istimewa dan turut menawarkan pelbagai variasi suman lemantak seperti suman sotong, suman lumek dan suman payak yang semuanya menggunakan bahan-bahan segar.
Dengan kepesatan teknologi yang semakin berkembang, Timah berharap dapat membawa makanan tradisional ini ke peringkat yang lebih luas, sehingga dapat dikenali di seluruh Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa.
-ZS-