
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Anak Sarawak yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara bertuah kerana buat julung kalinya mereka bakal menerima wang saku berjumlah RM1,200 sumbangan kerajaan negeri.
Pemberian wang saku itu diumumkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini semalam.

Nur Fathihah Misran (kiri) bersama-sama rakan satu fakulti.
Dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 11 November lalu, Abang Johari telah mengumumkan pemberian wang saku itu hanya kepada pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita isi rumah RM1,500 ke bawah.
Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan kaedah pendapatan per kapita sebagai kriteria kelayakan untuk bantuan itu.
“Justeru, saya mendengar kebimbangan itu, dan saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa semua pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia akan layak menerima wang saku itu secara one-off (sekali beri), tanpa mengira berapa pendapatan keluarga mereka,” katanya.
Menurut pelajar Semester 3 Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Nur Fathihah Misran, 21, ketika ditemui hari ini, berkata wang saku RM1,200 itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan para pelajar untuk membeli barangan makanan di kampus.
“Wang pemberian yang diterima daripada ibu bapa pula dapat digunakan membeli kelengkapan pembelajaran seperti instrument (alat) muzik agar dapat menjalani latihan kendiri di rumah atau studio,” katanya yang mengambil pengkhususan Sastera dalam Muzik (Kepujian)
Sementara itu, Sutinah Bujang, 51, penjawat awam yang mempunyai tiga orang anak dan sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, berkata pengumuman pemberian insentif wang saku sebanyak RM1,200 kepada pelajar anak Sarawak sudah pasti memberi banyak kelegaan kepada orang ramai.

Sutinah Bujang.
“Wang saku ini dapat meringankan perbelanjaan yang ditanggung oleh kami berikutan peningkatan kos perbelanjaan harian dan barangan keperluan pelajar,” katanya.
Tambahnya, beliau berterima kasih Premier Sarawak atas keperihatinan terhadap para ibu bapa.
-ZS-