
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 23 Dis ( Malaysiaaktif ) – Sebanyak 13 jenis barangan di Labuan termasuk dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 pada tahun ini.

Simsudin (kanan) menyempurnakan simbolik pelaksanaan SHMMP Krismas 2024
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Amiluddin Malang antara barangan tersebut adalah kepak ayam, daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, ubi kentang import (China), lobak merah, tomato, lada benggala hijau, cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar, babi hidup dan daging babi.

Amiluddin (paling kanan) dan Simsudin (dua dari kanan) semasa meninjau pelaksanaan SHMMP Krismas 2024
“Skim ini berlangsung selama lima hari iaitu berkuat kuasa mulai 23 Disember sehingga 27 Disember 2024 melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“KPDN Labuan akan sentiasa membuat pemantauan yang berterusan di seluruh pasar awam dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan di sekitar Labuan bagi memastikan pematuhan di peringkat peniaga,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Jelasnya, tindakan tegas dan segera akan diambil KPDN terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
“Harga maksimum yang telah diwartakan bagi SHMMP Krismas 2024 di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit boleh disemak melalui portal rasmi KPDN di https://www.kpdn.gov.my,” ujarnya.
-AA-