Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

95 Mangsa Banjir di Daerah Jempol Terima Wang Ihsan

By 12 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Pusat Khidmat Rakyat DUN Jeram Padang

JEMPOL 12 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 95 orang mangsa banjir di daerah ini menerima sumbangan Wang Ihsan Mangsa Banjir sebanyak RM1,000 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun hadir bagi menyampaikan sumbangan di Dewan Sri Rompin, Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, di sini pagi tadi.

Aminuddin (kiri) hadir menyampaikan sumbangan mangsa banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidi Abd Kadir, berkata mereka ini merupakan mangsa banjir daripada empat pusat penempatan sementara (PPS) iaitu DUN Jeram Padang PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Palong 1 (12 orang), PPS SK Rompin (32 orang) dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sialang (38 orang) manakala selebihnya di DUN Serting iaitu PPS Balai Raya Kampung Dato Johan.

“Jumlah ini melibatkan mereka yang terpaksa berpindah akibat banjir dan sumbangan yang disampaikan pada hari ini diharap dapat membantu meringankan beban para penerima,” katanya.

Menurutnya lagi, sumbangan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan tiada rakyat yang terpinggir dan bantuan disalurkan dengan cekap dan adil.

“Kita semua sedia maklum bahawa bencana banjir ini telah memberikan kesan yang mendalam kepada kehidupan rakyat, tetapi melalui semangat gotong-royong dan solidariti, kita dapat bersama-sama membina semula kehidupan dengan lebih baik.

Mohd Zaidi mngucapkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan termasuk ketika waktu kecemasan.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu, terutamanya di kawasan DUN Jeram Padang dan DUN Serting,” katanya.

Salah seorang mangsa Rajukumar Kumaran, 57, melahirkan rasa gembira, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan yang telah memberikan sumbangan.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang sedang ditanggung oleh kami,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda