Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Anak Pokok RM1: Tarikan Pengunjung ke Nurseri Mai Kebun Pendang

By 19 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Nurseri Mai Kebun yang terletak di Batu 16 ½, Kampung Tanjung Radin ini menawarkan pelbagai jenis anak pokok sayur-sayuran seperti cili, terung, timun, petola, peria dan sebagainya dengan harga serendah RM1.

Zul Hakimi bergambar bersama pekerja Mai Kebun

Selain itu, bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pengunjung, Mai Kebun juga turut menawarkan pelbagai anak pokok termasuklah buah-buahan, ulam-ulaman dan pelbagai jenis pokok hiasan.

Antara pokok-pokok yang terdapat di Mai Kebun

Pengusaha Nurseri Mai Kebun, Zul Hakimi Mokhtar, 34, ketika ditemui berkata bahawa beliau bersama isterinya Nur Fatnin Hazrati Hazlan, 34, memulakan perniagaan ini dengan projek fertigasi cili pada tahun 2016 sebelum membuka kedai jualan secara kecil-kecilan di hadapan kebun mereka di sini pada tahun 2020.

“Kami memulakan perniagaan ini dengan hanya bermodalkan simpanan sendiri dan bantuan kewangan daripada ibu bapa sebanyak RM15 ribu.

“Mendapat dorongan daripada keluarga dan sambutan baik daripada para pelanggan menjadi semangat kepada kami untuk membuka nurseri dan sehingga hari ini kami sudah mempunyai 13 orang pekerja,” ujarnya.

Nurseri yang berada di laluan utama jalan Pendang ke Tanah Merah ini turut menjual barangan-barangan keperluan pertanian seperti baja, menyediakan khidmat pemasangan rumah hijau (Green House), khidmat nasihat penjagaan pokok yang betul dan pelbagai lagi perkhidmatan pertanian.

“Setakat ini, kami berjaya menjual lebih 10 ribu anak pokok sebulan.

“Saya berharap agar lebih ramai generasi muda menceburi bidang perniagaan khususnya pertanian kerana ianya memberikan pulangan yang lumayan,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda