
Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)
KUANTAN, 15 Dis (Malaysiaaktif) –Kerajaaan Malaysia MADANI dilihat serius membantu rakyat yang kurang berkemampuan dengan menyediakan bantuan Bakul MADANI bagi Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan.

Antara penerima Bakul MADANI yang hadir.
Menurut Pengurus Pusat Komuniti MADANI Parlimen Indera Mahkota Farahida Datuk Fauzi, penyampaian bakul ini telah bermula pada minggu lepas dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
“Mereka datang ke Pusat Komuniti MADANI ini untuk mendaftar dan setelah semakan dibuat, didapati layak, mereka akan dipanggil untuk menerima bantuan ini,” katanya ketika ditemui Jumaat lalu.
Tambahnya lagi, seramai lebih kurang 50 orang penerima akan dipilih setiap minggu dan dalam sebulan pusat khidmat ini mensasarkan 1,000 bakul makanan untuk diedarkan.
Seorang penerima Noridayu Ismail, 44, yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan Balok Makmur dan tinggal di Kampung Balok Baru, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri.

Noridayu amat bersyukur dengan bantuan bakul makanan yang diterima.
“Bantuan ini dapat meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya.
Revati Shanmugam, 36, dari Air Putih pula, berkata beliau mendapat maklumat ini dari seorang kawan supaya datang mendaftar di pusat khidmat ini sekiranya memerlukan bantuan.
“Saya daftar minggu lepas dan tidak sangka nama dipanggil untuk terima bantuan pada minggu ini,” katanya.
Ujarnya lagi, bantuan seperti ini amat bagus dan sangat-sangat membantu rakyat dan perlu diperluaskan di kawasan lain.
-ZS-