Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Christmas@KK Sentral: Sambutan Krismas Meriah dengan Komuniti Kreatif

By 19 Disember 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Bersempena sambutan perayaan Krismas, acara ‘Christmas@KK Sentral Riverside Market’ yang berlangsung dari 16 hingga 22 Disember ini, di KK Sentral, di sini menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

Dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu (CBKK) dengan kerjasama DBKK Holdings Sdn. Bhd., acara ini berlangsung setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Noridahwati ketika ditemui pada program ‘Christmas @ KK Sentral Riverside Market’ di KK Sentral, Kota Kinabalu.

Setiausaha PUSPANITA CBKK, Datin Noridahwati Abdul Rahman, berkata program ini bertujuan memeriahkan sambutan perayaan Krismas sambil memperkenalkan KK Sentral sebagai lokasi pelancongan dan ekonomi yang berpotensi tinggi.

“Tujuan utama acara ini adalah untuk menyemarakkan sambutan perayaan Krismas 2024. Selain itu, ia juga menjadi platform untuk merancakkan aktiviti ekonomi di KK Sentral dan mempromosikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan yang menarik selain membantu para peniaga kecil untuk menjual produk mereka tanpa dikenakan sewa reruai.

“Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang acara ini, termasuk jualan barangan preloved (barang terpakai), makanan dan minuman serta kraf tangan hasil komuniti tempatan. Selain itu, terdapat pameran oleh DBKK Holdings yang memfokuskan kepada inovasi seperti baja kompos, produk kitar semula dan pembayaran kompaun secara mudah,” katanya kelmarin.

Tambahnya, buat pertama kali juga ‘wayang pacak digital’ diadakan di KK Sentral iaitu pada setiap malam sepanjang program disamping persembahan daripada kumpulan busker untuk menceriakan suasana.

Sekitar suasana program ‘Christmas @ KK Sentral Riverside Market’ di KK Sentral, Kota Kinabalu.

“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan lagi KK Sentral Riverside Market. Acara ini bukan sahaja untuk berhibur, tetapi juga peluang untuk menikmati produk komuniti dan mendukung usaha kitar semula,” ujarnya.

Seorang peserta dari Komuniti Kampung Darau, Wetland Eco-Tourism, Ruzailah Ali, 37, turut memeriahkan acara ini dengan mempamerkan produk unik kitar semula dari kulit lokan.

“Kami menghasilkan pelbagai produk seperti pemberat kertas paperweight, bekas aksesori ‘trinket dish’ dan rantai kunci daripada kulit lokan,” katanya..

Menurutnya lagi, pihaknya amat bersyukur kerana program di bawah inisiatif Citra Kasih DBKK program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti untuk memasarkan produk kitar semula.

“Ia juga menyediakan kursus dan bimbingan untuk meningkatkan kemahiran kami dalam menghasilkan produk kraftangan yang lebih berkualiti.

“Kami juga aktif menyertai pameran di mana pengunjung boleh mencuba sendiri proses pembuatan produk dan membawa pulang hasil kreativiti mereka. Sambutan sangat menggalakkan, terutama daripada pelancong dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda