
Laporan/foto: Fauzrina Bulka (Sabah)
KOTA KINABALU, 25 Dis (Malaysiaaktif) – Keunikan Malaysia terletak pada keberagaman kaumnya yang boleh disatukan dengan nilai kekeluargaan yang sama.

Haryati bersama adiknya yang diziarahi di Kota Kinabalu.
Salah satu contoh yang jelas adalah bagaimana cuti umum sempena perayaan seperti Krismas memberikan peluang untuk masyarakat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Menurut Haryati Hassan, 53, cuti sempena sambutan perayaan sememangnya akan dimanfaatkan untuk beliau berjumpa dengan keluarga yang tinggal jauh termasuk di daerah berlainan.
“Saya dan abang bertolak dari Tawau pada Ahad dan singgah di Ranau bertemu kakak yang tinggal di sana, hari ini kami ke Kota Kinabalu untuk berjumpa keluarga adik bongsu pula,” katanya ketika ditemui di kedai kraf Masjid Bandaraya, Likas, di sini petang tadi.
Sementara itu bagi Nurul Shafiqa Nazwa Bunjiu Abd, 47, perayaan yang diraikan bersama bukan sahaja meraikan tradisi setiap kaum tetapi juga memperkuat ikatan kasih sayang antara satu sama lain.

Nurul sedang menyediakan makanan untuk ahli keluarga.
“Walaupun rumah kami di daerah yang sama tetapi kami jarang berjumpa, dengan adanya cuti perayaan ini, saya terus merancang untuk beriadah dengan mereka.
“Tiga keluarga dapat dikumpulkan hari ini, moga silaturahim antara kami dapat dieratkan lagi dengan sambutan perayaan yang pelbagai di Sabah,” ujarnya ketika ditemui semasa beriadah bersama keluarga di Taman Awam Teluk Likas.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri Sabah telah mengisytiharkan 24 Dis sebagai cuti am tambahan sempena Perayaan Krismas bermula tahun 2019 menjadikan tambahan satu hari lagi cuti am termasuk pada 25 Disember.
-ZS-