Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Hampir 2,000 Pengunjung Memeriahkan Karnival Sepakat Anak Pulau

By 15 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sobri Manan/Farhana Azlin Lajis (Langkawi)

LANGKAWI, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Karnival Sepakat Anak Pulau 2024 yang menjadi acara penutup bagi Kalendar Komuniti Tahun 2024 dan berlangsung pada 13 dan 14 Disember lalu berjaya menarik hampir 2,000 orang pengunjung.

Karnival yang diadakan di Kompleks Sukan Langkawi ini merupakan aktiviti yang julung kali diadakan dengan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama Pertubuhan Komuniti Anak Tempatan (PEKAT) serta jabatan dan agensi kerajaan di Langkawi.

Peserta anyam sarung cempedak.

Menurut Pengurus Unit Khidmat Korporat (UKK) LADA, Lina Azlina Zali, karnival ini merupakan yang pertama melibatkan komuniti dan mengetengahkan semula sukan-sukan tradisi kepada golongan muda.

“Harapan kami di UKK LADA agar program ini dapat dilaksanakan secara tahunan berikutan ramai penglibatan daripada komuniti di seluruh Langkawi dan berharap dapat bekerjasama dengan bahagian pelancongan untuk menarik lebih banyak pengunjung selain daripada komuniti setempat,” katanya, di sini semalam.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi memberi bafas baru tergadap permainan tradisional yang kini semakin dilupakan.

Antara acara dan permainan yang diketengahkan adalah seperti caplong kombat, congkak, tarik upih, anyam sarung cempedak, siti muslihat dan cungkil puruih atau cungkil lidi.

Pemilik kereta kawalan jauh bergambar kenangan bersama kereta mereka semasa Karnival Sepakat Anak Pulau 2024.

Turut menjadi tumpuan adalah pertandingan sepak raga, pertandingan ayam serama, pertandingan ayam sabung ratu, pertandingan tuju guli, pertandingan tuju para, pertandingan tuju tin, pertandingan zero point, pertandingan ikan karin segak dan pertandingan seni suara burung merbah.

Terdapat juga segmen Hobi Anak Muda di mana mereka mempamerkan kereta kawalan jauh dan membuat demonstrasi kepada pengunjung yang hadir.

Pengunjung juga dapat menikmati pelbagai juadah tradisi yang dijual di gerai dengan harga berpatutan selain berpeluang melihat pameran statik agensi kerajaan dan swasta.

-ZS-

Tinggalkan komen anda