
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)/IPD Taiping
TAIPING, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di perkarangan Pejabat Kepolisan Komuniti Aulong, di sini semalam dijayakan dengan kerjasama penduduk setempat.

Sesi soal jawab ACP Mohd Nasir bersama Komuniti Aulong.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Nasir Ismail, objektif program ini adalah sebagai keterlibatan bersama Persatuan Kepolisan Komuniti dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Aulong dalam memberi maklum balas berkaitan masalah keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan Kampung Aulong.
“Sesi dialog yang diadakan juga adalah penting bagi memberi penjelasan serta perincian tentang masalah-masalah yang dibangkitkan khususnya di kawasan ini,” ujarnya.

Edaran risalah berkaitan pencegahan jenayah komersil kepada penduduk.
Turut berlangsung penyerahan kod QR bagi Kempen Pencegahan Jenayah Komersil kepada Pengerusi Persatuan Kepolisan Komuniti Aulong Ng Cheong Eng sebagai simbolik tanda kerjasama selain memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal relevan sebagai agensi penguatkuasa utama negara untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Abd Malek Ismail dan Pegawai Perpaduan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Pravin Poobalan.
-ZS-