
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/Muhammad Hafizzuddin Azhar (ZTNS)
TAIPING, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) sedang menganjurkan ZOORAMA 2024 bermula 21 hingga 29 Disember ini bersempena cuti sekolah.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir, ZTNS merekod jumlah pelawat sebanyak 582,959 pengunjung sehingga 15 Disember lalu meliputi pengunjung dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta luar negara.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Mereka Cipta Maskot ZTNS 2024.
“Pelbagai aktiviti diadakan sempena ZOORAMA 2024 dengan penglibatan pelbagai jabatan, agensi dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dalam acara-acara yang disediakan.
“Sehubungan itu, ZTNS berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran 600,000 pelawat menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran ZOORAMA 2024 di Pavilion ZTNS, di sini kelmarin.
ZOORAMA merupakan acara tahun ZTNS dan telah diperkenalkan sejak tahun 2012.
Antara pengisian program bagi tahun ini termasuklah Rimba Ria Fashion Show, Zoo Enrichment Day dan pelbagai pertandingan menarik seperti melukis dan mewarna, pertandingan e-sukan Mobile Legend, pertandingan gubahan tepak sirih junjung serta pertandingan nyanyian Raintown Star.

Tetamu kehormat bersama ketua jabatan dan agensi pada Majlis Peluncuran ZOORAMA 2024.
Sementara itu, majlis peluncuran ini turut dimeriahkan dengan pengumuman pemenang Pertandingan Mereka Cipta Maskot ZTNS yang telah berlangsung pada pertengahan tahun ini dan rekaan daripada peserta, Mohamad Nizam Said dari Bayan Lepas, Pulau Pinang iaitu Damak, seekor Seladang muncul juara pertandingan seterusnya berjaya membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil.
Hadir merasmikan Majlis Peluncuran ZOORAMA 2024 ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam Ong Seng Guan.
-ZS-