
Laporan/foto: Al-Tarmizi Azmi/Ashikin Mustafa
KOTA TINGGI, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Program Kampung Angkat MADANI bertujuan mengangkat martabat kawasan luar bandar dan memastikan limpahan pembangunan yang adil untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menitikberatkan perpaduan, kesejahteraan dan keadilan sosial.

Sumbangan Bakul Makanan Kampung Angkat MADANI oleh Menteri Pertahanan Malaysia kepada penduduk Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi.
“Kerajaan mahu kawasan luar bandar menerima limpahan pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang adil sekali gus merancakkan ekonomi penduduk kampung serta memberi manfaat kepada semua.
“Program ini turut diharap dapat memperkukuh jalinan silaturahim antara kerajaan dan rakyat serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata demikian di Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI anjuran Kementerian Pertahanan di Balai Raya Kampung Baru Pasak, di sini hari ini.

Menteri Pertahanan membuat lawatan ke ruang pameran Angkatan Tentera Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang hari, termasuk Kursus Pengurusan Jenazah, Klinik Bacaan Surah al-Fatihah, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, pesta sukan, pameran aset serta senjata ringan oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus serta Ketua-Ketua Jabatan Daerah Kota Tinggi.
-ZS-