
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN Labuan
LABUAN, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan melaksanakan 32 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh Labuan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas.

Tiga tindakan kes telah dihasilkan kerana pelanggaran peraturan SHMMP Krismas.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Labuan Amiluddin Malang, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak tiga tindakan kes telah dihasilkan kerana pelanggaran peraturan ditetapkan sepanjang tempoh kuat kuasa skim itu.
“KPDN Labuan tidak akan berkompromi dan akan terus memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan dan melindungi para pengguna.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah turut dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,”menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Pegawai Penguat kuasa KPDN Labuan menjalankan pemantauan terhadap barangan di bawah SHMMP Krismas.
Selain itu KPDN katanya turut mengingatkan para peniaga agar sentiasa mengamalkan etika peniagaan yang baik seperti tidak menyorok dan menyeleweng barang kawalan bersubsidi serta menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati.
“SHMMP Krismas 2024 bermula dari 23 hingga 27 Disember 2024 iaitu selama lima hari dan ia berkuat kuasa pada dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan,” katanya.
-ZS-