
Laporan/foto: Hendry Nurdin (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 411 pelajar dari 14 sekolah prasekolah Zon Tungku diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Zon Tungku Kali Ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku, Lahad Datu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal menekankan pentingnya pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas kukuh kepada pembentukan modal insan berkualiti di masa hadapan.

Salleh (tiga dari kiri) menerima cendera hati daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tungku, Azman Biran
Mohammad Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, menjelaskan prasekolah adalah fasa pertama dalam perjalanan pendidikan anak-anak dengan mempamerkan semangat ingin tahu, kreativiti dan kemahiran sosial yang membanggakan.
“Pendidikan prasekolah bukan sahaja membantu kanak-kanak mengenal huruf dan angka tetapi juga membina keyakinan diri serta nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan kerjasama.
“Mereka belajar bukan hanya mengenal huruf dan angka, tetapi juga membina keyakinan diri serta nilai-nilai murni seperti kasih sayang dan hormat-menghormati,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini kelmarin.
Teks ucapan beliau disampaikan Pegawai Perhubungan Parlimen Lahad Datu, Salleh Jailani.
“Semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan komuniti setempat memainkan peranan untuk terus menyokong perkembangan potensi anak-anak demi masa depan yang lebih gemilang.

Nurzuliana bersama anaknya, adik Dhiya Iffah Iftinan Halim, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan)
“Sebagai ibu bapa, anda adalah guru pertama anak-anak. Sokongan moral galakan dan perhatian anda di rumah adalah kunci kepada kejayaan mereka. Jangan pernah berhenti menyokong dan memotivasikan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, sebagai ibu bapa, Zeeliry Awang Jais, 31, percaya penganjuran majlis seperti ini sangat membantu dan memberi motivasi kepada anak-anak luar bandar untuk terus berjaya.
“Ini adalah majlis pertama bagi kami untuk anak kami yang pertama dan kami berharap ia dapat membakar semangat anak kami dan anak luar bandar lain agar terus berusaha mencapai impian mereka,” katanya.
Selain itu, ibu kepada salah seorang pelajar penerima anugerah cemerlang, Nurzuliana Kanang, 41, berharap agar prestasi anak ketiganya itu dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.
“Saya berasa sangat gembira atas pencapaian anak ketiga saya ini dan berharap agar prestasi yang sangat membanggakan bagi kami sebagai ibu bapa dapat dipertingkatkan hingga dia sampai ke menara gading,” ujarnya.
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Cemerlang, Nur Shuzila Shuhada Mohd Jais, 6, meluahkan rasa gembira dan syukur atas penghargaan yang telah diterimanya.
“Selepas ini saya akan terus berusaha belajar bersungguh-sungguh lagi untuk mencapai cita-cita saya sebagai seorang doktor,” katanya.
-AA-