
Laporan/foto: Helmie Ekni/Jeremy Paran Labang (Sarawak)
TANJUNG MANIS, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Nanas MD2 telah membawa perubahan besar dalam industri nanas dan menjadi salah satu varieti nanas yang paling popular di seluruh dunia.
Nanas MD2 diperkenalkan pada awal tahun 1980-an dan mula ditanam secara komersial di negara-negara seperti Costa Rica, Guatemala dan Panama.

Peringkat awal tanaman sulur nanas MD2 dengan sistem batas beralaskan plastik silvershine
Nanas ini lebih dikenali dengan kelebihan rasa yang lebih manis, ukuran yang seragam dan kemampuan tumbesaran yang lebih baik berbanding dengan varieti lain.

Para pekerja dalam proses menyemai sulur nanas MD2 di batas khas
Dari kawasan tanah tinggi Bario hingga ke kawasan tanah rendah di Tanjung Manis, seorang pemuda berbangsa Kelabit, Jeremy Paran Labang, 43, telah mengorak langkah mengusahakan sebuah ladang nanas berkeluasan 100 ekar di sini.
Ladang yang mula beroperasi sejak 2019 itu dimiliki oleh Saramanis Sdn Bhd dan diurus oleh Jeremy yang berasal dari Bario, Miri dan bertanggungjawab dalam mengembangkan operasi dan pasaran ladang nanas di Tanjung Manis ini.
Ladang utama Saramanis Sdn Bhd adalah berpengkalan di Tukau, Miri, Sarawak.
“Perniagaan ini dimulakan dengan sokongan dari Saramanis Miri, PUSAKA (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak), LPNM (Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Agrobank dan Jabatan Pertanian.
“Bantuan dan nasihat yang diberikan oleh pihak-pihak ini sangat membantu dalam menjayakan perjalanan kami,” kata Jeremy ketika ditemui semalam.
Apabila ditanya tentang cabaran yang dihadapi dalam mengusahakan ladang nanas, Jeremy menyatakan cabaran terbesar adalah mengawal penyakit tanaman dan memastikan kualiti tanah sentiasa berkeadaan baik.
“Cuaca yang tidak menentu juga kadang-kadang menjejaskan hasil tanaman,” ujarnya.
Jeremy turut memberikan tips kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan ladang nanas agar sentiasa belajar dan mendapatkan ilmu tentang penanaman nanas.
“Jangan takut untuk meminta bantuan dari pakar dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran,” katanya lagi.
-AA