
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Sabah)
KOTA KINABALU, 12 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Lukisan dihasilkan menggunakam medium bancuhan kopi yang dicampur dengan warna lain kini menjadi satu pendekatan yang unik selain memberi dimensi baru dalam dunia seni lukis.
Pengetua MY Art Studio, Chua Sang Yuuu, 35, berkata, “Coffee Drawing Workshop ini memberi pendedahan kepada para peserta terutamanya anak-anak, bahawa seni boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan, bukan hanya menggunakan medium tradisional seperti krayon atau cat air.”

Pengetua MY Art Studio, Chua ketika ditemu bual dalam program Coffee Drawing Workshop di SICC, Kota Kinabalu kemarin.
“Kami ingin menunjukkan bahawa apa sahaja material boleh menjadi seni. Kami menggunakan kopi sebagai bahan utama dan mencampurkannya dengan warna lain untuk mencipta kesan yang unik,” ujarnya semasa ditemu bual di Borneo, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sempena Mega Carnival di sini kemarin.
Tambah beliau, melalui bengkel ini peserta dapat membuka minda supaya mereka lebih kreatif dan tidak terhad kepada bahan-bahan seni konvensional.
Bagi salah seorang peserta, Winee Ho, 67, beliau kagum dengan keunikan kopi yang boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan lukisan selain dibancuh sebagai minuman di rumah.
“Saya rasa bengkel ini sangat menyeronokkan dan berharap acara seperti ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan. Warna yang dihasilkan daripada kopi memberikan keunikan berbanding warna biasa, dan itulah yang menjadikannya lebih menarik,” ujarnya di sini kemarin.
Sementara itu, bagi suri rumah, Joey Cheon, 36, bengkel ini memberi pengalaman baharu kepada anak-anak untuk belajar kemahiran seni yang lebih kreatif dan inovatif.

Joey bersama anak-anaknya di dalam program Coffee Drawing Workshop sempena program Mega Carnival Terbesar di Borneo, di SICC Kota Kinabalu kemarin.
“Saya rasa program ini sangat bagus untuk anak-anak kerana mereka dapat belajar sesuatu yang baru dan juga memberi mereka peluang untuk memahami lebih dalam tentang produk tempatan seperti kopi Sabah,” ujarnya ketika menemani anak-anaknya di Coffee Drawing Workshop di sini kemarin.
Coffee Drawing Workshop dilaksanakan sempena program Mega Carnival Terbesar di Borneo berlangsung mulai 10 hingga 12 Januari 2024 di SICC Kota Kinabalu.
Program ini berlangsung selama satu jam, bermula pada jam 3 petang, dan menerima sambutan yang sangat baik daripada peserta.
-RJ-