
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Kelantan)
TANAH MERAH, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 250 pelajar mangsa banjir dan penduduk sekitar disantuni dalam Majlis Sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan Pakaian Seragam Sekolah anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dengan kerjasama Badan Kebajikan dan Pendidikan Pelajar Miskin Malaysia, di Dewan Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, kelmarin.

Pengerusi Badan Kebajikan dan Pendidikan Pelajar Miskin, Mohd Sufian Mat Junus (kiri)
Pengerusi Badan Kebajikan dan Pendidikan Pelajar Miskin, Mohd Sufian Mat Junus, menyambut baik inisiatif ini kerana jalinan kerjasama antara jabatan kerajaan dan NGO mampu memberikan manfaat besar kepada pelajar, khususnya mereka yang terkesan dengan banjir.

Penerima baucar RM200 Pakaian Seragam Sekolah
Antara penerima bantuan ialah Muhammad Syahid Roslan, 11, dari Kampung Bendang Nyior, yang hadir bersama ibunya meluahkan rasa syukur atas sumbangan baucar RM200 untuk pembelian pakaian seragam sekolah.
“Bantuan ini meringankan beban kami, terutama selepas menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP),” kata Siti Mardiah, ibu kepada enam anak.
Selain sumbangan pakaian seragam, penduduk kampung turut menerima pemberian topi keledar percuma, lesen motosikal percuma dan lesen memandu barangan (GDL).
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Datuk Zamri Abdul Aziz, Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah, Guru Besar SK Bendang Nyior Norashikin Mohd Noor serta pemimpin masyarakat dan ahli NGO.
Hampir 500 orang pendudu hadir, menunjukkan kerjasama erat antara pelbagai pihak demi membantu komuniti setempat.
-AA-