
Laporan/foto : Hendry Nurdin/Farid Badrul (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Sambutan luar biasa daripada lebih 25,000 pengunjung terhadap Madodong Food Fest berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.
Pengarah festival, Muhamad Sawal Lansang,47, berkata, festival tersebut menyediakan platform bagi para usahawan mempromosi dan meluaskan pasaran produk masing-masing.
Tambahnya, festival yang julung kalinya diadakan di Lahad Datu ini berjaya dilaksanakan biarpun menghadapi pelbagai cabaran.
“Sambutan hangat yang kami terima memperlihatkan bagaimana dengan azam dan semangat yang kuat, sesebuah acara boleh menjadi pemangkin yang besar dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Orang ramai yang mebanjiri Madodong Food Fest yang berlangsung di sini kemarin.
“Melihat kejayaan dan impak positif festival ini, saya bercadang untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan atau bahkan dianjurkan setiap suku tahun demi membantu meningkatkan ekonomi para peniaga,” katanya ketika ditemui Madodong Food Fest di sini kemarin.
Kongsinya lagi, perkataan Madodong sebenarnya dipetik daripada bahasa suku Bugis yang bermaksud lemah atau lemas dengan menggambarkan suasana pengunjung yang lemas dengan keunikan serta pelbagai hidangan menarik dijual sepanjang festival berlangsung.
“Perkataan ini mempunyai nilai sentimental yang melambangkan perubahan, daripada rasa lemah kepada kekuatan, seiring dengan semangat peniaga yang bangkit memajukan perniagaan mereka.
“Madodong juga sebenarnya diinspirasikan oleh isteri saya, Rina Langke, atau lebih dikenali sebagai ‘Macik Rina Madodong’, iaitu seorang pempengaruh media sosial tempatan yang terkenal dengan jualan Nasi Madodong Senggol Dong,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Rina Langke, 42, kejayaan festival ini menjadi penguat semangat beliau dan peniaga lain untuk terus berusaha meningkatkan hasil pendapatan.

Antara vendor tempatan dan luar daerah yang membuka booth jualan di Madodong Food Fest di sini kemarin.
“Madodong Food Festival kini bukan sekadar medan untuk menikmati makanan, tetapi juga simbol kebangkitan ekonomi setempat. Nama ‘Madodong’ kini berubah daripada simbol kelemahan kepada kekuatan dan kejayaan bersama,” jelasnya.
Antara pengunjung yang ditemui, Farid Badrul,37, percaya festival tersebut mempunyai tarikan tersendiri kepada masyarakat setempat dan berharap akan dianjurkan lagi pada masa akan datang.
“Saya tidak sangka festival di Lahad Datu boleh semeriah ini. Bukan sahaja makanan yang pelbagai dan sedap, tetapi suasana di sini sangat meriah,” kongsinya.
Untuk makluman, Madodong Food Fest yang berlangsung pada 23 hingga 26 Januari 2025 adalah anjuran bersama MMG Quality dan MyCar melibatkan 54 vendor makanan dari seluruh Malaysia dan usahawan jenama tempatan di Sabah.
-RJ-