
Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)
IPOH, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 26 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari keluarga peserta eKasih kategori miskin dan miskin tegar negeri Perak menerima sumbangan wang tunai RM300 serta akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime sebanyak RM1,000 melalui Program Didik Kasih MADANI (dKasih): Kasih Siswa di Kolej Vokasional Lebuh Cator, di sini semalam.

Mazlan ketika berucap
Program ini merupakan inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi membantu meringankan beban keluarga untuk menampung keperluan pengajian.

Sesi bergambar bersama para pelajar dan ibu bapa penerima seusai program
Menurut Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Perak Mazlan Zurin Zulkifli, seramai 318 orang penerima dari seluruh negara menerima bantuan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 413,400.
“Di Perak, 26 orang penerima telah terpilih untuk menerima sumbangan ini.
“Saya berharap agar para penerima dapat menggunakan sumbangan yang diberikan dengan sebaiknya untuk pembelajaran yang cemerlang dalam akademik.
“Semoga semua pelajar memperoleh kejayaan dan menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan program.
Dalam program sama, turut diadakan ceramah motivasi kepada pelajar Kolej Vokasional Lebuh Cator yang disampaikan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Ipoh Barat Dr. M. Indiran bagi meningkatkan semangat para pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
-AA-