
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 3,551 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 di 36 buah pusat peperiksaan seluruh negeri Perlis.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Ros Aza Arifin, seramai 3,435 merupakan calon sekolah manakala 116 lagi adalah calon persendirian.

Ros Aza bersalaman dengan calon calon SPM 2024 di Sekolah Menengah Sheikh Ahmad, Arau.
“Peperiksaan bertulis SPM tahun ini bermula pada 2 Januari 2025 dan akan berakhir pada 6 Februari 2025 iaitu selama 16 hari dengan 3,077 calon terdiri dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pelajaran iaitu dari Maktab Rendah Sains Mara berjumlah seramai 262 calon.
Tambah Ros Aza lagi, 51 calon pula dari sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, 45 orang calon pula dari Sekolah Menengah Agama Rakyat dan calon persendiriaan seramai 116 orang calon.
Daripada jumlah tersebut, seramai 22 calon berkeperluan Pendidikan khas berdaftar di mana dua daripadanya akan melibatkan prosedur pindah tulis.
“Bagi calon kes khas, seramai dua orang calon akan menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung,” jelasnya.

Calon SPM 2024 di Sekolah Menengah Sheikh Ahmad bersalaman dengan guru sebelum menuju ke dewan peperiksaan.
Menurutnya lagi, seramai 279 orang petugas peperiksaan telah dilantik terdiri daripada lapan Penyelia Kawasan , 36 orang Ketua Pengawas, 36 orang Timbalan Ketua Pengawas, serta 155 orang Pengawas dan 44 petugas sukarelawan bagi mengoperasikan 36 buah pusat peperiksaan di negeri Perlis.
“Saya juga mengharapkan supaya ibu bapa dapat memantau pergerakan dan tahap kesihatan anak-anak (calon) dan memastikan anak-anak hadir semua kertas peperiksaan yang didaftarkan,”ujarnya.
-ZS-