Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

400 Pesilat Aliran Buah Pukul Gegar Mersing

By 27 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahairi/Mohd Hanif (Mersing)

MERSING, 27 Jan (MalaysiaAktif) – 400 peserta daripada 38 perguruan dari seluruh negara, termasuk Pahang, Terengganu, Selangor dan Johor telah menjayakan Majlis Perhimpunan Silat Aliran Buah Pukul Mersing 2025 bertempat di Dataran Monumen Mersing, di sini semalam.

Antara Persatuan Perguruan Aliran Buah Pukul yang hadir

Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah, berkata perhimpunan bersejarah ini bertujuan meraikan dan memelihara seni silat tradisional, khususnya Silat Aliran Buah Pukul yang menjadi kebanggaan warisan negara, terutamanya di daerah Mersing.

“Sijil Penghargaan Program Penilaian Mersing Geopark (Buah Pukul Mersing sebagai Warisan Budaya Silat Mersing Geopark) yang diberikan oleh Jawatankuasa Pelaksana Geopark Malaysia sebelum ini merupakan satu tanda yang mampu membawa kemasyhuran negara.

Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah menerima Anugerah Sandang Panglima Kehormat Silat Aliran Buah Pukul (SIAP)

“Ia bukan sahaja menonjolkan latar seni budaya, tetapi juga keperibadian masyarakatnya,” katanya.

Tambah Jamil Hasni, menurut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia bertarikh 7 Julai 2020 menunjukkan negeri Johor tidak tersenarai dalam tiga negeri dengan penduduk tua tertinggi.

“Sehubungan itu, program seperti ini menjadi peluang keemasan untuk guru tua silat berkongsi ilmu dan membuka ruang kepada penyelidik asing dan tempatan untuk mendalami warisan negara, khususnya Silat Aliran Buah Pukul Johor,” katanya.

Pengerusi Sekretariat Silat Aliran Buah Pukul (SIAP) Profesor Datuk Kapten Dr. Jaafar Lamri, berkata menurut sejarah, Sir Paduka Awang Daik, seorang tokoh silat tersohor, pernah menjadi Magistrat dan Commissioner of Land (DO) di Mersing/Endau.

“Beliau adalah figura penting yang melambangkan kesetiaan kepada agama, raja dan tanah air.

“Hari ini, Pegawai Daerah Mersing membangkitkan semula semangat itu ibarat penganjuran program ini seperti ‘sirih pulang ke gagang’,” katanya.

Dalam pada itu, turut diadakan penyampaian Anugerah Sandang Panglima Kehormat SIAP dan Anugerah Sandang Panglima Perang SIAP selain persembahan daripada 38 perguruan Silat Aliran Buah Pukul.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Johor Anuar Abd Manap, dan Penasihat Kehormat Sahabat Mersing (SAME) Datuk Abdul Latif Bandi.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda