
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Denis Etem (Sarawak)
BAU (KUCHING), 17 Jan (Malaysiaaktif) – Semalam merupakan hari bersejarah dan bermakna bagi 87 orang kanak-kanak apabila kejayaan mereka diraikan sempena Hari Apresiasi Tabika KEMAS kawasan Serembu yang berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti di Dewan Suarah Bau.

Miro Simuh ketika berucap.
Acara tahunan itu menjadi platform pencetus semangat kepada kanak-kanak dan guru-guru Tabika KEMAS kawasan tersebut untuk melakar kejayaan pendidikan pada masa depan dengan kehadiran 120 orang ibu bapa yang hadir di dewan tersebut seawal pukul 8.30 pagi bagi memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh dalam ucapannya, berkata ibu bapa di kawasan tersebut wajar memberi kerjasama sepenuhnya kepada guru-guru Tabika KEMAS terutamanya berkaitan pendidikan awal kanak-kanak mereka agar terus cemerlang sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
“Tahniah kepada ibu bapa dan kanak-kanak Tabika KEMAS kawasan Serembu dan penganjur atas kejayaan pelaksanaan acara ini yang begitu meriah dan bermakna kepada peserta,” katanya.

Ibu bapa hadir memberi sokongan dan memeriahkan program.
Selain menyaksikan acara penyampaian sijil dan hadiah kepada kanak-kanak Tabika KEMAS, ibu bapa juga berkesempatan menyaksikan persembahan dan nyanyian anak-anak mereka.
Sebanyak tujuh Tabika KEMAS terlibat dalam program ini iaitu Tabika KEMAS Kampung Peninjau Baru, Tabika KEMAS Kampung Podam, Tabika KEMAS Kampung Krokong, Tabika KEMAS Sogo, Tabika KEMAS Kampung Tringgus, Tabika KEMAS Kampung Gumbang dan Tabika KEMAS Kampung Kandis Baru.
-RJ