
Laporan/foto: Ann Manjasari Shamsudin (Sepang)
SEPANG, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Sepang anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Sepang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan bagi memupuk budaya mematuhi dan menghormati peraturan jalan raya dan melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah dalam kalangan para pelajar.

Ceramah Keselamatan Jalan Raya oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik
Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Program yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Sepang, di sini semalam juga bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar berkaitan aspek undang-undang dan keselamatan jalan raya.
Menurut Khairi Azali, pendekatan advokasi seperti ceramah keselamatan jalan raya yang telah disampaikan oleh Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang ini adalah sebagai satu pendekatan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar dan merupakan salah satu usaha bagi menyokong objektif program ini.
“Saya berharap program advokasi keselamatan di peringkat sekolah seumpama ini dapat melahirkan generasi berhemah dalam pemanduan di jalan raya agar misi ‘Membudayakan Keselamatan Jalan Raya ke Arah Kesejahteraan Negara’ dapat dicapai dan program advokasi keselamatan jalan raya di peringkat sekolah rendah ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang dan memberi manfaat kepada semua pelajar,” katanya.

Sesi interaktif kuiz kenegaraan oleh Pejabat Penerangan Daerah Sepang.
Menurutnya lagi, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati secara purata 20 peratus kemalangan jalan raya setiap tahun melibatkan kemalangan motosikal dan 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya terdiri daripada penunggang motosikal dengan 45 peratus mangsa merupakan golongan muda berumur 16 hingga 30 tahun.
“Justeru bagi mendokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, visi menjadikan ‘Malaysia sebagai sebuah negara sifar kematian akibat nahas jalan raya’ turut menjadi matlamat utama program ini,” katanya.
Turut diadakan acara penyerahan 30 unit topi keledar kanak-kanak kepada pihak sekolah untuk diserahkan kepada pelajar yang terpilih.
-ZS-