
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 13 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Aktiviti perkhemahan kini semakin digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat sebagai cara terbaik untuk melarikan diri daripada kesibukan harian dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Malah, aktiviti rehlah ini juga memberi peluang untuk peserta meneroka kehidupan luar dengan lebih dekat, sambil mengembangkan kemahiran bertahan hidup, serta membina hubungan yang lebih rapat dengan keluarga serta rakan-rakan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan menyarankan agar lebih banyak program luar seperti ini dianjurkan untuk memperkukuhkan semangat komuniti serta memupuk nilai kerjasama di kalangan masyarakat.

Nizam ketika mengunjungi khemah peserta Tawau Camp Meet Vol 2 semalam.
“Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi, sekaligus membudayakan aktiviti luar yang sihat di Tawau.
“Diharapkan program ini akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti tempatan serta pengunjung luar yang ingin merasai pengalaman perkhemahan yang unik dan penuh keseronokan,” katanya ketika merasmikan Program Tawau Camp Meet Vol 2 di Cowie Bay Tawau di sini pada Ahad.

Perkarangan perkhemahan program Tawau Camp Meet Vol 2 pada waktu malam di sini semalam.
Program anjuran Persatuan Komuniti Perkhemahan Taktikal dan Glamping Tawau yang berlangsung dari 10 hingga 12 Januari 2025 ini berjaya menarik lebih 80 penyertaan, menjadikannya antara program perkhemahan terbesar di kawasan ini.
Selain daripada aktiviti perkhemahan, acara tersebut juga diserikan dengan persembahan busking dan cabutan bertuah.
-RJ-