
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 13 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Semua pihak terutama ibu bapa dan ahli keluarga diingatkan untuk memberikan kerjasama padu dan memainkan peranan dengan serius bagi memastikan keselamatan kanak-kanak pada tahap yang tertinggi.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah Datuk Rina Jainal berkata, penderaan fizikal, seksual, dan emosi terhadap kanak-kanak adalah ancaman serius yang boleh merosakkan keselamatan dan hak asasi mereka.
Jelasnya, kesan daripada penderaan ini bukan sahaja pada fizikal tetapi juga emosi dan psikologi kanak-kanak, yang boleh berlarutan sepanjang hayat.

Rina ketika merasmikan program Kempen Membanteras Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2025 di sini kemarin.
“Komuniti memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga bagi apa yang berlaku di sekitar mereka. Kita perlu bekerjasama untuk memastikan keselamatan kanak-kanak.
“Ibu bapa harus lebih peka dan aktif dalam memantau setiap langkah anak-anak bagi melindungi mereka daripada segala ancaman,” katanya ketika merasmikan Program Kempen Membanteras Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2025 di Dewan Tun Mustapha, Masjid Raya Tawau pada 11 Januari 2025 di sini kemarin.
Menurut beliau, program tersebut dilancarkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan empat objektif utama iaitu meningkatkan kefahaman masyarakat dan kanak-kanak tentang jenayah seksual, memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai langkah pencegahan, memberi peluang kepada komuniti untuk menyertai Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak dan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai langkah yang perlu diambil jika berlaku kes jenayah seksual.
Terdahulu, Rina mencadangkan penubuhan sebuah rumah transit khas untuk mangsa gangguan seksual yang akan berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara serta pusat sokongan.
“Dengan adanya rumah transit ini, kami berharap dapat memberi persekitaran yang selesa dan menyokong mereka untuk kembali berdiri teguh.

Rina (tengah) bersama peserta programKempen Membanteras Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2025 kemarin.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, serta memberi mereka peluang untuk memulakan kehidupan baru tanpa rasa takut,” ucapnya lanjut.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Tawau, sebanyak 237 kes penderaan seksual, emosi, dan fizikal terhadap kanak-kanak dicatatkan antara Januari hingga Disember 2024.
Melalui statistik yang sama terdapat juga 40 kes melibatkan kanak-kanak terlibat dalam jenayah dan empat kes kanak-kanak yang tidak terkawal.
-RJ-