Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Bandar Baru Jelawat Pemangkin Kemajuan Sosioekonomi

By 26 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin (Bachok)

BACHOK, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Kewujudan Bandar Baru Jelawat dijangka bakal menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat serta contoh kepada pembangunan bandar lain.

Ucapan aluan oleh YDP Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam merangkap Ketua Jajahan Bachok, Shamsul Haji Abu Bakar

Terkenal sebagai Bandar Pelancongan Islam, pembangunan ini dilihat akan meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui infrastruktur moden, sekaligus menyediakan kemudahan awam yang lebih baik serta peluang ekonomi yang menyeluruh.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok merangkap Ketua Jajahan Bachok, Shamsul Abu Bakar, Bandar Baru Jelawat dibangunkan melalui usahasama antara Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) dan Syarikat Induk Setia Sdn Bhd di atas tanah seluas 21.24 ekar setelah perjanjian kerjasama dimeterai pada 26 April 2018.

“Bandar Baru Jelawat telah mula beroperasi pada tahun 2022 yang merangkumi komponen utama seperti pasaraya hypermarket (Pasaraya Pantai Timur), sebuah pasar awam bertingkat, serta 207 unit bangunan lot perniagaan dengan kemudahan yang disediakan termasuk bangunan pasar awam bertingkat, surau, hentian bas, tandas awam dan sumbangan dalam bentuk wang tunai,” katanya.

Ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan yang hadir dalam Majlis Perasmian Bandar Baru Jelawat

Kelmarin, dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Bandar Baru Jelawat dan Lawatan Kerja ke Bachok, Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menyatakan keyakinannya terhadap potensi besar daerah ini.

“Bachok memiliki kelebihan dari segi ekonomi, pendidikan, pelancongan dan sosio-budaya. Pentadbiran perbandaran yang sistematik dan efisien perlu dijadikan asas untuk merealisasikan Bachok sebagai Bandar Pelancongan Islam,” ujarnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan beberapa aktiviti, termasuk penyerahan Surat Hakmilik Tanah kepada 50 penerima, penyerahan watikah pelantikan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kual Besar serta tinjauan ke Tapak Pasar Awam Bandar Baru Jelawat.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam Ab. Rahman, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Tuan Hilmi Abdullah.

Projek ini diharap akan menjadi titik perubahan dalam lanskap pembangunan di Bachok, sekali gus memacu kemajuan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

-AA-

Tinggalkan komen anda