
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Nuzuluddin Abdul Razak (Sabah)
KOTA KINABALU, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Pembukaan sesi persekolahan biasanya memerlukan ibu bapa atau penjaga untuk mengeluarkan perbelanjaan yang sedikit tinggi berbanding kebiasaan untuk memenuhi keperluan sekolah anak-anak.
Bagaimanapun, beban kewangan tersebut dapat diringankan melalui pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai RM150 yang diagihkan Kerajaan MADANI memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta anak murid.

Nancy gembira dengan BAP dapat meringankan dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak.
Seorang ibu Nancy Marias, 52, berkata bantuan ini amat bermakna, terutamanya bagi ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
“Sebagai ibu bapa, bantuan BAP ini sangat meringankan. Alhamdulillah, kami bersyukur sebab kerajaan dapat memberi peluang ini kepada semua ibu bapa, terutama mereka yang berpendapatan tidak tetap.
“Bantuan ini sangat bermakna kerana ia membantu membeli kelengkapan seperti pakaian, kasut, dan beg sekolah, sekali gus memberi motivasi kepada anak-anak,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsan Sabah, Australia, New Zealand Army Corp. (SANZAC), di sini semalam.
Bersyukur menerima bantuan BAP, ibu kepada empat anak, Diana Andal, 46, percaya bantuan tersebut menampung sedikit perbelanjaan persekolahan terutama untuk membayar yuran.

Diana bersyukur atas inisiatif kerajaan membantu menampung perbelanjaan persiapan persekolahan.
“Bagi kami yang hidup kais pagi makan pagi, bantuan ini sedikit sebanyak membantu membeli keperluan anak-anak seperti pakaian sekolah, yuran dan alat tulis.
“Walaupun tidak mencukupi sepenuhnya, ia tetap mengurangkan beban besar awal persekolahan,” ujarnya.
Kakitangan keselamatan Zulhasdieh Sapi, 40, berkata bantuan yang diterima dibelanjakan untuk memnuhi peralatan pelajaran anak-anak.
“Untuk keluarga yang ada ramai anak, saya ada empat orang anak, bantuan ini sangat membantu.
“Biasanya, perbelanjaan besar adalah untuk membeli pakaian, kasut, dan beg. Dengan bantuan ini, beban kewangan dapat dikurangkan, walaupun kami masih perlu menambah sedikit perbelanjaan,” katanya.

Zulhasdieh menyambut baik dan menyifatkan BAP meringankan beban kewangan keluarga.
Seorang lagi penerima bantuan, Anizar Azizi, 43, menyatakan bahawa inisiatif ini amat relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
“Dengan kos sara hidup yang meningkat, bantuan ini sangat membantu kami menyediakan keperluan penting untuk anak-anak.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi turut memastikan pelajar mendapat motivasi untuk memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang mencukupi,” jelasnya.
-ZS-