
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Fazlye Jafer (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Kecemerlangan yang digapai oleh pelajar sejak dibangku sekolah bukanlah penamat untuk generasi ini mengenepikan Konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) untuk panduan masa depan.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa Mazlan Osman, percaya anak-anak perlu dididik untuk membudayakan prestasi kerja yang cemerlang dalam setiap aspek kehidupan bukan terhad semasa zaman persekolahan sahaja.

Murid-murid mengambil kesempatan merakamkan kenangan pada hari terakhir persekolahan.
Jelasnya, untuk mencapai sebuah kejayaan, perlu wujudnya kesepakatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menuntun anak-anak agar tidak terpesong daripada nilai pendidikan yang betul serta berkualiti.
“Di peringkat sekolah, kita telah melakukan yang terbaik selaras dengan etika dan Piagam Pelanggan Perkhidmatan Pendidikan.
“Justeru, gandingan mantap daripada ibu bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling amat diperlukan supaya matlamat pendidikan untuk melahirkan generasi bagi mengisi wawasan negara akan tercapai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Tahun 6 di SK Malawa, di sini semalam.

2. Adik Haziq bersama ibubapanya ketika dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Terpuji 2024/2025 serta Tokoh Murid 2024/2025.
Tambah Mazlan, majlis seumpama ini amat perlu dianjurkan untuk memberi motivasi kepada anak-anak sekolah meneruskan perjuangan menimba ilmu sekali gus membentuk jati diri unggul sebagai pewaris masa depan negara.
“Sebagaimana tahun-tahun yang lalu, majlis penganugerahan merupakan acara tahunan sekolah di mana program seumpama ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar tahun enam yang berjaya menamatkan pengajian pada peringkat sekolah rendah.
“Pengiktirafan juga diserahkan kepada pelajar atas pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum sekali gus mengharumkan nama sekolah sama ada di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri, ” katanya.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 263 orang murid perdana dan 10 orang murid pendidikan khas menerima sijil tamat tahun enam.
Dalam majlis yang sama adik Muhammad Haziq Hilman Mohd Hasrull telah dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Terpuji 2024/2025 serta Tokoh Murid 2024/2025 SK Malawa.
-ZS-