
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
ALOR GAJAH, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Satu lagi mercu tanda produk tarikan baharu negeri Melaka iaitu Gadek Hotsprings Wellness and Spa Resort akan menjadi tarikan utama pelancong ke Gadek.

Ketua Menteri Melaka menandatangi plak perasmian.
Sebelum ini dikenali sebagai Kolam Air Panas Gadek, dan ditutup selama tiga tahun bagi kerja-kerja naik taraf, kini telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi sejak sebulan lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata tujuan utama pembinaan semula dan penubuhan tempat peranginan yang berkonsepkan Wellness and Spa Resort ini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan rawatan menggunakan air panas semula jadi, tetapi turut memberi tumpuan kepada pengukuhan mental dan fizikal kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam air panas, bilik rawatan spa, pusat kecergasan serta penginapan yang selesa.
Menurutnya, dalam tempoh kurang sebulan pengoperasian iaitu sehingga 19 Januari tahun ini, seramai 11,772 orang pengunjung telah direkodkan.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ketua Menteri Melaka.
“Projek naik taraf ini telah diluluskan melalui Geran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) daripada Kementerian Ekonomi dengan keseluruhan kos berjumlah RM18.45 juta.
“Saya percaya, inisiatif ini merupakan satu pelaburan penting bagi mempertingkatkan lagi kemudahan di Gadek Hotsprings Wellness and Spa Resort agar menjadi destinasi pelancongan kesihatan dan rekreasi utama yang semakin berkembang pesat,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut, di sini kelmarin.
-ZS-