
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BANDAR TASIK PUTERI, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Siapa sangka caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) merupakan ’hadiah terakhir‘ seorang wanita kepada keluarganya yang meninggal dunia secara mengejut pada 6 Januari lalu.

Amirul Nafis bersama anaknya yang berusia dua bulan setelah kematian isteri lebih seminggu lalu
Allahyarham Nur Izzaty Hafizah Abuhurairah, 19, meninggalkan suami Amirul Nafis Amiruddin, 26, serta anaknya Muhammad Faleeq Haq berusia dua bulan.
Menurut Amirul Nafis, beliau memang mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) sehingga terdetik untuk mencarum buat isterinya.
“Saya memang ada carum untuk diri sendiri dan apabila lihat di aplikasi boleh carum untuk suri rumah terus saya lakukan.

(Dari kiri) Jamilah dan Datuk Hasnal bermesra dengan anak Amirul Nafis ketika berkunjung di Bandar Tasik Puteri hari ini
“Tidak terlintas apa pun waktu itu cuma saya ingat isteri seorang suri rumah, jadi tidak salah untuk mencarum,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Rawang, di kediamannya hari ini.
Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican.
Sementara itu Pengurus PERKESO Rawang, Jamilah Siro, berkata pihaknya mengambil langkah proaktif menghubungi waris dan memproses pembayaran faedah sebaik menerima maklumat kematian Suri Rumah Berinsurans (SRB) terbabit.
“Berdasarkan semakan PERKESO, Allahyarham adalah pencarum SKSSR sejak 3 April 2024 dan warisnya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
“Suami arwah juga layak menerima Pencen Penakat sehingga beliau mencapai umur 55 tahun manakala anaknya menerima pencen sama sehingga mencapai umur 21 tahun,” jelasnya.
Terdahulu, kisah kematian Allahyarham Nur Izzaty Hafizah Abuhurairah tular di media sosial selepas meninggal dunia ketika tidur dalam pelukan suaminya sebaik selesai menyusukan bayi mereka yang berusia dua bulan.
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) mula diperkenalkan pada 1 Disember 2022 untuk memberi perlindungan terhadap kematian dan penyakit kronik, kemalangan semasa menguruskan rumah tangga seperti kemalangan semasa menghantar anak sekolah, membeli barangan keperluan harian di pasar selain aktiviti menguruskan rumah tangga di dalam rumah.
Menerusi bayaran hanya RM120 setahun, pencarum akan mendapat perlindungan terhadap bencana domestik atau keilatan.
-AA-