Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

HPP Sungai Rengit Eratkan Hubungan Polis dan Masyarakat

By 22 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Al-Tarmizi Azmi/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Program High Profile Policing (HPP) yang diadakan di Padang Awam Sungai Rengit semalam berjaya mengeratkan hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mencuba aset kenderaan PDRM.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Yusof Othman dalam ucapan perasmian, berkata program ini bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan polis dengan masyarakat dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Sokongan yang diberi kepada pihak polis dengan kehadiran warga Sungai Rengit ke program ini merupakan manifestasi hubungan mesra antara polis dan masyarakat.

“Ini menunjukkan masyarakat di Sungai Rengit ini cakna dengan isu keselamatan dan pencegahan jenayah di sini,” ujarnya.

Program yang penuh warna-warni ini menyaksikan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan kebudayaan, dan pameran khas daripada PDRM.

Selain itu, 18 syarikat turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar, golongan asnaf, ibu tunggal dan golongan kelainan upaya.

Antara orang ramai yang hadir bagi memeriahkan program.

Tan Kai Leong, salah seorang pengunjung, meluahkan rasa gembira dengan perlaksanaan acara yang julung kali diadakan ini kerana masyarakat Tionghua di Sungai Rengit sentiasa memberi kerjasama erat kepada polis untuk memastikan kawasan tersebut sentiasa aman dan sejahtera.

Beliau turut menghargai sumbangan yang diberikan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Syamsuri Muhamad, wakil rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Surat Aminuddin Doll serta Ketua-Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina.

-ZS-

Tinggalkan komen anda