Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Ibu Bapa Diseru Tidak Jadikan TVET Sebagai Pilihan Terakhir

By 13 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Facebook Zahid Hamidi

HUTAN MELINTANG, 13 Jan (Malaysiaktif) – Ibu bapa di negara ini diseru agar tidak menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan terakhir pendidikan anak-anak.

Zahid merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika berucap

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, berkata TVET wajar dianggap sebagai landasan strategik yang mampu mencetuskan transformasi sosioekonomi seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.

“Menerusi Belanjawan 2025, peruntukan TVET telah meningkat sebanyak 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM6.8 bilion kepada RM7.5 bilion dan peningkatan ini menunjukkan komitmen kerajaan memperkasa sektor TVET.

Salah seorang pencari kerja yang hadir di Karnival Kerjaya My Future Jobs Bagan Datuk 2025

“Peruntukan ini akan digunakan untuk mempertingkatkan kerjasama antara kerajaan dan industri dalam membentuk penyelarasan kurikulum TVET agar bersesuaian dengan keperluan semasa pasaran kerja selain menyediakan peluang latihan kepada belia rentan termasuk kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli,” ujar beliau ketika berucap pada Karnival Kerjaya My Future Jobs Bagan Datuk di Dewan Serbaguna Dato Haji Abdullah Ahmad, di sini kelmarin.

Jelasnya lagi, kerjasama kukuh pihak industri dan institusi TVET amat diharapkan dalam memastikan padanan antara penawaran dan permintaan (demand and supply) berupaya dicapai.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Abdul Rahman Mohamad, berkata KESUMA juga memberikan penekanan serius terhadap pembangunan TVET pada tahun ini dengan membawa pelbagai inisiatif yang akan menyumbang kepada pemerkasaan TVET negara terutama keperluan dan kebajikan golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan bekas banduan.

“Berdasarkan statistik PERKESO sehingga tahun lalu, sebanyak 201 program temuduga OKU dan 167 penghuni penjara telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu 3,693 OKU dan 2,706 penghuni penjara telah mendapat pekerjaan.

“Jumlah ini membuktikan KESUMA menerusi PERKESO sentiasa berusaha memperkasa golongan rentan ini sekali gus memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara dan ‘no one is left behind’,” katanya.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda